Tuesday, November 18, 2014

Anemia dan Talasemia.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.



Masa buat buku antenatal (anak kedua):
Doktor : Masa anak pertama, awak anemia jugak kan?
Aku : Haah kot.
Doktor : Kenapa kot pulak? Betul la anemia. Sebab sy tengok buku awak (buku antenatal anak pertama) Awak mmg anemia in pregnancy.
 (Dalam hati, menyumpah je. Kalau dah tau tu, tak payah la tanya. Annnnnneh!)

Kali kedua checkup :
Doktor : Sy syak awak ada talasemia. Sebab sy tengok keputusan darah awak, corak darah awak..... bla bla bla
Aku : Ooo ye ke? Talasemia macam pernah dengar tapi lupa. hehe.
Doktor : Takpe sy faham. Orang memang selalu abaikan pasal talasemia ni. Tapi bila anak dah kena penyakit talasemia baru nak kelam kabut. Baru nak menyesal tak amik tau dari awal. 
 (Eh eh doktor ni. terangkan la dengan cara elok-elok. Kemain garang lagi.  Tapi kalau ikut logik dek akal, memang betul pun kata doktor tu. Kalau tak, sampai sekarang aku tak tau talasemia tu ape.).

Seksanya, setiap 2 minggu kena amik darah setabung sebab anemia. Ditambah lagi amik darah berulang kali untuk ujian talasemia. Haihhh. Lepas 2-3 bulan, baru la dapat result yang tepat dan jelas dari Pakar Patologi, Hospital Putrajaya. Katanya dalam result tu, findings are consistent with Beta Thalassaemia Trait. Aku pun tak faham apakah Beta Thalassaemia Trait tu. Haha. Pastu percuma kena marah.

Doktor kata "Plss, ambil serius perkara ni. Jangan la nak gelak-gelak ye. Awak pembawa talasemia. Esok pagi, bawa suami dan anak awak pergi jalani ujian darah untuk pemeriksaan samada talasemia atau tidak. Sebab kalau suami ada talasemia, besar kemungkinan anak awak atau anak dalam kandungan adalah pesakit talasemia. Tau kan pesakit talasemia macam mana? Awak kena bawa anak pergi transfusi darah setiap bulan, injection semua. Awak doa la suami awak takde talasemia ni. Make sure esok mesti datang ye."

Tertelan air liur aku dengar. Pandai doktor ni main psiko dengan ibu mengandung yang tak bersalah ni. Haha.  

Takut punya pasal, keesokan harinya, suami dan anak pergi la ke klinik ambil darah. Damia masuk bilik tu dah melalak macam ape. Menjerit-jerit cakap, "Mummy nanak! nanak! nak uar! uar! (mummy taknak. nak keluar)" . Dah tau dah bilik tu tempat ambil darah sebab setiap kali dia demam, mesti kena amik darah kat situ. Haha.

Lepas amik darah, tunggu dalam 1 jam lebih kurang, dapat result. Nasib baik suami disahkan takde sebarang jenis talasemia. dudududu~  Tapi yang tak bestnya, Damia pulak pembawa talasemia. Tapi, pembawa talasemia bukanlah yang teruk.  Yang teruk adalah pesakit talasemia. Nasib kami hanyalah pembawa sahaja. Tapi result darah suami dan anak hanyalah ujian secara kasar. Kalau nak result lebih detail, diorang kena amik darah lagi. Tak sanggup la aku nak tengok budak kecik ni kena amik darah lagi. Cukup la aku tau yang suami takde talasemia ni.  Alhamdulillah. 

Lagipun, bagus jugak buat pemeriksaan darah ni memandangkan Damia memang anemia sejak dari bayi lagi. Biasa la. Like mummy like daughter. Hehe. Risau jugak kan. Lepas ni kena la bagi Damia makanan yang bayak zat besi dan vitamin-vitamin lain dalam pemakanan.

Mia ada anemia dan talasemia . Triple Mia di sini. Hehh.






ANEMIA

Info daripada myhealth.gov.my



Apakah Anemia?
Ia adalah suatu keadaan di mana sel darah merah yang matang yang membawa oksigen ke seluruh tisu badan berkurangan. Fungsi ini dijalankan oleh protein yang dinamakan haemoglobin. anemia biasanya bermaksud haemoglobin yang tidak mencukupi. Paras Haemoglobin yang normal adalah di antara 11.5 hingga 16.5g/dL untuk perempuan dan 12.5 hingga 18.5g/dL untuk lelaki.
Sebab-sebab Anemia
  1. Kehilangan darah (sama ada akut atau kronik).
    • Kehilangan darah yang akut boleh berlaku semasa kemalangan jalan raya atau selepas pembedahan. Kehilangan darah yang melebihi 500ml biasanya memerlukan gantian darah.
    • Kehilangan darah kronik biasanya berlaku semasa kedatangan haid yang berlebihan, infestasi cacing dan lain-lain keadaan.
       
  2. Kurang penghasilan sel darah merah di dalam sum-sum. Ini mungkin disebabkan oleh :
    • Kekurangan faktor penting seperti zat besi, vitamin B12, folate dan erythropoietin.
      • Pertumbuhan yang mendadak di kalangan remaja yang menyebabkan peningkatan keperluan zat besi di mana ianya melebihi paras penyerapan zat besi.
      • Kitaran haid bagi wanita dengan kehilangan anggaran 30mg zat besi setiap bulan boleh menyebabkan kekurangan zat besi.
    • Faktor Toksik : Penyakit Inflamasi, kerosakan hati dan ginjal, ubatan.
    • Kekurangan hormone : Paras hormon tiroid rendah.
    • Kerosakan sum-sum : kanser darah, penyakit sum-sum.
    • Gangguan pembentukan sel darah merah : keadaan seperti Talasemia.
       
  3. Pemusnahan sel darah merah yang berlebihan. Mungkin berlaku di dalam beberapa jenis jangkitan atau pengambilan sesuatu ubat.

    Jenis anemia yang biasa berlaku adalah :
    • Anemia disebabkan kekurangan zat besi.
    • Talasemia.
Tanda-tanda dan Gejala
Ramai yang menghidapi anemia dan tidak mengetahui sebabnya.
Gejala-gejala termasuk:
  • Keletihan setiap masa
  • Pening
  • Sesak nafas apabila melakukan aktiviti fizikal
  • Kulit pucat
  • Kadar denyutan jantung yang cepat
  • Kurang daya ingatan
  • Kurang berat badan
Komplikasi
Jika anemia sangat teruk, ia akan menyebabkan :
  • Kegagalan jantung di mana fungsi jantung menjadi lemah dan tidak mencukupi.
  • Masalah semasa mengandung seperti melahirkan anak pramatang dan pertumbuhan janin yang terencat semasa berada di dalam kandungan.
Rawatan
Pemeriksaan haemoglobin untuk menentukan samada anda menghidapi anemia atau tidak boleh dilakukan di klinik berhampiran dengan anda.
Rawatan anemia bergantung kepada jenis anemia yang dihadapi.
  • Jika ia disebabkan oleh masalah perubatan seperti Talasemia, Leukaemia, rawatan khusus perlu dilakukan.
  • Jika ia disebabkan oleh kekurangan zat besi, maka ia perlu mengambil makanan seimbang yang mengandungi zat besi yang tinggi dan juga pil tambahan zat besi. 





TALESEMIA


Apa itu Talasemia?
Talasemia adalah penyakit genetik sel darah merah. Pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini adalah kerana gen yang mengawal penghasilan hemoglobin telah terjejas. Hemoglobin adalah satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan kita.
Talasemia adalah penyakit genetik atau keturunan, di mana anak mendapat gen talasemia daripada ibubapa. Ianya bukan penyakit berjangkit , iaitu tidak boleh ditransmisi melalui darah, udara dan air , atau melalui sentuhan fizikal dan seksual dengan pesakit talasemia. Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit ini.
Satu daripada dua puluh penduduk Malaysia adalah pembawa gen talasemia. Di Malaysia, terdapat 600,000 hingga 1 juta pembawa talasemia, dan lebih kurang 2500 pesakit talasemia major. Kebanyakan pesakit adalah daripada keturunan Melayu, Cina dan kaum Bumiputra Sabah.
Jenis-jenis Talasemia
Terdapat dua jenis talasemia yang utama iaitu
  • Pembawa gen talasemia( Talasemia minor)
  • Pesakit talasemia (Talasemia major)
Pembawa gen talasemia tidak menunjukkan apa-apa tanda atau masalah kesihatan. Pengesanan hanya boleh dibuat mengenai ujian darah talasemia. Seorang pembawa boleh menurunkan gen talasemia kepada anak-anaknya.
Manakala pesakit talasemia major akan menunjukkan tanda-tanda sejak dari umur 3- 18 bulan. Tanda dan gejala termasuk:
  • Keadaan pucat yang semakin ketara, sentiasa lemah dan resah
  • Anemia yang serius boleh menyebabkan kesukaran bernafas
  • Jaundis
  • Perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa
  • Tumbesaran terbantut
  • Semakin anak membesar terdapat perubahan pembentukan di bahagian muka
Bagaimana gen Talasemia diturunkan kepada anak?
Anak mewarisi gen talasemia daripada ibubapa. Contohnya, jika kedua-dua ibubapa adalah pembawa gen talasemia, berkemungkinan setiap kehamilan melahirkan bayi berpenyakit talasemia adalah tinggi

Rawatan untuk pesakit Talasemia
Pesakit talasemia major perlu mendapatkan rawatan transfusi darah sebanyak 1-2 kali sebulan dalam seumur hidup. Ini akan mengembalikan paras hemoglobin ke tahap yang lebih baik dan tisu-tisu di dalam badan akan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.
Akan tetapi, transfusi darah yang berpanjangan akan menyebabkan pengumpulan zat besi yang berlebihan di dalam organ-organ penting di dalam badan.Fungsi organ-organ seperti jantung, hati dan kelenjar endokrin akan terjejas dan ini akan mendatangkan kesan buruk terhadap pesakit.
Oleh itu, rawatan penyingkiran zat besi adalah amat penting bagi pesakit talasemia major. Ia boleh diberikan secara suntikan atau mulut. Pilihan lain adalah pembedahan membuang limpa yang dijalankan terhadap pesakit talasemia major bergantung pada situasi tertentu.
Rawatan pemindahan sum-sum tulang daripada adik-beradik yang sesuai juga ada dijalankan,. sementara rawatan gen masih di dalam kajian.
Komplikasi Talasemia
Jika tidak dirawat, pesakit talasemia akan mendapat tanda-tanda yang disebut di atas dan ia boleh membawa maut disebabkan oleh kesan anemia yang serius, kegagalan jantung dan jangkitan kuman.
Jika hanya mendapat rawatan transfusi darah tanpa rawatan penyingkiran zat besi, zat besi yang terkumpul di dalam organ-organ akan mengganggu fungsi organ tersebut.
Bolehkah Talasemia dicegah?
Talasemia hanya boleh dicegah dengan mengenal pasti pembawa gen melalui ujian saringan dan mengelak perkahwinan sesama pembawa-pembawa gen talasemia.







Sekian.