Tuesday, February 14, 2012

suami dan isteri .

Ciri-ciri, Sikap, Peranan Dan Tanggungjawab Suami


1.Sangat bertanggungjawab ke atas isteri, anak-anak serta orang-orang yang di bawah jagaannya .

2. Memberi ilmu dan didikan agama kepada isteri dan anak-anak.

3. Menyediakan nafkah lahir seperti makan minum, pakaian,tempat tinggal dan kesihatan kepada isteri dan anak-anak.

4. Suami tidak berkasar terhadap isteri dan anak-anak. Selaku ketua keluarga, suami lebih utama menonjolkan sikap kasih sayang dan prihatin. Kalau dalam sebuah institusi kecil rumahtangga, ketua keluarga tidak memberi kasih sayang, di mana pula anggota keluarga itu hendak mengadu dan bersandar.

5. Sekiranya isteri atau anak-anak membuat salah, hendaklah diberi tunjuk ajar.

6. Suami hendaklah bertimbang rasa kepada isteri. Amat jarang tetapi bukan tiada langsung di kalangan wanita yang kuat jiwa dan akal, melainkan mereka lebih didorong oleh perasaan. Sebab itu wanita amat mudah marah, merungut, mendongkol, merajuk, membebel. Situasi mereka itulah yang memerlukan suami bertimbang rasa.

7. Ketika isteri kesedihan, suami hendaklah menghiburkannya. Tumpang simpati memang disuruh, tetapi jangan turut terbawa-bawa dengan kesedihan isteri. Kesedihan yang berpanjangan sedikit sebanyak boleh menjejaskan urusan rumahtangga. Suami perlu menghiburkan isteri dengan berbagai cara, umpamanya bawa berjalan-jalan, makan angin, ziarah kawan dan lain-lain.

8. Suami sentiasa memberi kerjasama terhadap isteri. Ertinya dalam urusan rumahtangga, karier kerja, anak-anak, perlu mendapat kerjasama yang baik dari suami.

9. Suami tidak memandang kepada wanita lain. Memandang di sini ada dua maksud iaitu memandang dengan mata kasar secara lahiriah dan memandang dalam erti kata memberi perhatian atau memberi perasaan terhadap wanita lain. Sekaligus suami tidak membanding-bandingkan wajah isteri dan perangai isteri sendiri dengan wanita lain. Isteri itu adalah anugerah Tuhan yang sudah menjadi ketetapan semenjak azali lagi, terimalah seadanya.

10. Berbincang bersama. Sama ada dalam soal masalah atau perancangan keluarga, elok dibincangkan bersama supaya terjamin memperolehi penyelesaian yang tepat dan memuaskan.

11.Kejahatan, kelemahan dan kesilapan isteri tidak didedahkan kepada orang lain. Dalam kes hendak membuat pengaduan sekalipun kena juga dibatasi, sekadar memahamkan hakim atau orang tengah.

12. Sentiasa merendah diri kepada isteri, atau dengan istilah lain sebagai tawadhuk. Perlu diingat, tiada manusia yang benar-benar sempurna dalam segala hal. Sebab itu perlu tawadhuk kepada isteri kerana dalam banyak aspek, seorang suami memerlukan isteri dan banyak perkara suami tidak upaya berbuat dan bersabar seperti yang dilakukan oleh isteri. Tawadhuk juga bermaksud bersedia menerima teguran, nasihat dan ingatan dari isteri.

13. Suami perlu bertolak ansur dengan isteri.

14. Suami sentiasa kasih kepada isteri. Dalam hidup seorang suami, isteri adalah orang yang amat berjasa. Jasa isteri itu mewajarkan seorang suami mengasihi isteri. Inilah satu bentuk mengenang jasa seorang isteri.

15. Suami sentiasa belas kasihan terhadap isteri. Dalam kehidupan wanita moden, mereka mendakwa ada segala-galanya yang isteri perlukan. Namun sebenarnya mereka tidak boleh menafikan fitrah semula jadi iaitu mereka perlukan suami tempat berlindung, mengadu, berkongsi perasaan, tampat merintih dan tempat memperolehi dan menumpahkan kasih sayang. Ketiadaan suami dalam hidup seorang wanita, kekosongan tetap dirasainya terutama perasaan.


Ciri-ciri, Sikap, Peranan Dan Tanggungjawab Isteri


1. Bertanggungjawab dalam urusan dan bidang sebagai seorang isteri terutamanya terhadap suami.

2. Keutamaan seorang isteri ialah melayan suami dengan ikhlas atau murni kerana Allah semata-mata.

3. Mentaati suami selagi dalam perkara yang dibolehkan.Hanya boleh ingkar dalam perkara-perkara maksiat dan dosa.

4. Sentiasa merendah diri atau tawadhuk kepada suami.

5. Isteri mesti sentiasa berusaha menghiburkan suami dalam layanan, sikap, percakapan dan ketaatan.

6. Sebaik-baiknya isteri menyambut kepulangan suami.Dengan cara ini akan menyejukkan hati, menyenangkan hati, menenangkan perasaan dan menambahkan kemesraan.

7. Isteri tidak menuntut sesuatu yang tidak termampu oleh suami kecuali dalam hak yang asasi.

8. Isteri sentiasa memberi kerjasama kepada suami dalam apa aspek rumahtangga.

9. Mesti berusaha agar dapat bersembahyang jemaah bersama suami. Dari situ nanti akan banyak memperoleh rahmat dan berkat dari Tuhan dan mengeratkan lagi hubungan hati.

10. Isteri mesti menjaga maruah diri sama ada sewaktu dirumah lebih-lebih lagi di luar rumah.

11.Keperluan suami dalam lingkungan rumahtangga hendaklah disediakan oleh isteri. Dalam beberapa hal dan aspek,tidak pula dituntut sebagai wajib, namun di situlah ruang dan peluang bagi seorang isteri mengumpul sebanyak-banyak darjat taqwa di sisi Tuhan.

12. Sedangkan lidah lagi tergigit, maka apabila timbul sebarang masalah, cuba dibawa kepada perbincangan bersama.Elakkan dari retak dahulu baru hendak dibincangkan.Kalau retak dahulu, bincang kemudian, keadaan begini kurang berkesan untuk mengatasi masalah.

13.Berpuas hatilah di atas apa sahaja pemberian suami. Perlu berkorban perasaan sekiranya kurang berpuas hati.

14. Kesalahan suami hendaklah dilupakan. Anggaplah jasa dan khidmat suami itu jauh lebih besar berbanding kesilapan yang dilakukan oleh suami.

15. Memberi semangat kepada suami.



p/s : byk artikel yg seumpama ini di'post' dlm blog ni .  sbb diri ni masih rasa kekurangan ilmu ttg kehidupan berumah tangga . harap si suami pn baca la juga ye . bukan si isteri je yg membaca artikel ni :)