Tuesday, January 31, 2012

padah !



Artikel 1 :


KULIM: Akibat mengutuk hal peribadi keluarga kenalan wanitanya melalui laman sosial Facebook, seorang lelaki dibelasah hingga mati menggunakan topi keledar oleh dua lelaki yang dipercayai abang wanita itu.

Mangsa, Mohd Amran Romli, 20, dimasukkan ke Hospital Kulim selepas kejadian jam 8 malam, Jumaat lalu, di Taman Tiram, Lunas dekat sini, dan disahkan mati akibat pendarahan dalaman kepala, kelmarin.

Mohd Amran dikatakan diserang dua lelaki iaitu abang kepada kenalan wanitanya, masing-masing berusia 25 dan 26 tahun di belakang sebuah pasar raya di taman itu. 

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata dalam pergaduhan itu kepala mangsa dihentak dengan kuat menggunakan topi keledar oleh suspek, menyebabkannya pengsan dan dikejarkan ke Hospital Kulim. 

“Mangsa mengenali wanita itu melalui Facebook, tetapi selepas berhubung melalui laman berkenaan beberapa lama, hubungan mereka mula menghadapi masalah. 

“Sejak itu mangsa dikatakan sering mengganggu kenalan wanitanya melalui Facebook, selain turut mengutuk hal peribadi keluarganya. Wanita itu kemudian mengadu perbuatan mangsa kepada dua abangnya. 

“Sebaik mengetahui hal itu, abang wanita terbabit merancang satu perjumpaan dengan mangsa di belakang sebuah pasar raya untuk menyelesaikan masalah itu. 

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran dan mangsa dihentak dengan topi keledar sebelum pengsan,” katanya ketika di hubungi di sini, semalam. 

Beliau berkata, mangsa tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia petang kelmarin akibat perdarahan di kepala. 

Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. 

Berita Harian
2 Ogos 2011






Artikel 2 :

KOTA BHARU – Gara-gara mengenali teman lelaki menerusi Facebook, seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Agama, di sini, menerima padah apabila mengadu dirogol dua kali di dua rumah berasingan di Pengkalan Chepa dan Jalan Pekeliling di sini, semalam.
Bagaimanapun, lelaki terbabit yang berusia 17 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, ketika dia masih tidur sebaik mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 14 tahun, dibawa ke rumah suspek di Pengkalan Chepa, kira-kira jam 11 malam.
Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa ditarik masuk ke dalam sebuah bilik di rumah suspek dan keadaan itu tidak disedari oleh ibu bapa remaja terbabit kerana dipercayai tidur.
Katanya, mangsa yang juga seorang pelajar tingkatan dua kemudian dirogol oleh remaja terbabit sebelum dibawa pula ke sebuah rumah rakannya di Jalan Pekeliling pada hari sama.
”Ketika berada di rumah tersebut mangsa sekali lagi dirogol oleh kenalannya itu sebelum dihantarnya pulang ke rumah di Panji kira-kira jam 4.30 pagi,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, rahsia tersebut terbongkar apabila ibu bapa mangsa mendapati anaknya pulang lewat ke rumah dan atas desakan mangsa diarah membuat laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, sebaik menerima laporan, polis melakukan serbuan di rumah suspek dan berjaya menahannya untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa mengenali suspek sejak dua bulan lalu menerusi Facebook.
Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa telah menerima Pesanan Khidmat Ringkas (SMS) daripada lelaki terbabit untuk mengajaknya keluar makan.
Katanya, sebaik selesai makan, mangsa dibawa ke rumah suspek dengan motosikal sebelum bertindak merogol mangsa.
Menurutnya, suspek yang juga seorang pelajar tingkatan lima kini ditahan di lokap IPD untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
“Ibu bapa dinasihatkan awasi pergaulan anak-anak termasuk memantau Facebook mereka,” katanya -sinar harian



Artikel 3 :

KOTA BHARU – Wanita kesunyian di negeri ini, termasuk suri rumah, guru dan pelajar dikesan paling ramai menjadi mangsa penipuan sindiket yang kononnya mengirim bungkusan hadiah berharga dari luar negara kerana golongan itu didapati mudah terpedaya.
Dengan menggunakan modus operandi yang sama, polis Kelantan merekodkan 14 kes membabitkan kerugian berjumlah RM260,950 dikesan daripada jenis penipuan kiriman bungkusan hadiah itu bagi tempoh Januari hingga 18 Ogos lalu.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya menasihatkan golongan wanita di negeri ini supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan itu yang mencari mangsa melalui e-mel dalam Internet dan rakan sembang atau chat.
“Kami mengesan kebanyakan mangsa golongan wanita kesunyian yang banyak menghabiskan masa melayari Internet berkenalan dengan suspek melalui e-mel lalu mulai chat sebelum semakin mesra.
“Apabila mendapati mangsa mudah diperdaya, suspek kemudian menawarkan untuk menghadiahkan pelbagai barangan berharga seperti beg, jam, barang kemas yang berharga lebih RM100,000 kepada mangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, mangsa yang percaya dengan tawaran suspek akan menerima tawaran itu lalu suspek menggunakan khidmat rakyat tempatan untuk menghubungi mangsa memaklumkan barangan itu sudah tiba di lapangan terbang.
Bagaimanapun, katanya, bungkusan mengandungi barangan mahal kiriman suspek itu tidak boleh diambil kerana mangsa perlu menjelaskan cukai Kastam terlebih dahulu.
Mazlan berkata, oleh kerana terlalu inginkan bungkusan hadiah itu mangsa bersetuju untuk memasukkan sejumlah wang yang diminta suspek dalam akaun yang diberikan dan apabila ingin mendapatkan bungkusan itu baru mangsa menyedari ditipu.
“Sebenarnya bungkusan hadiah dari luar negara itu langsung tidak wujud dan mangsa diperdaya sindiket berkenaan yang menggunakan rakyat tempatan sebagai rakan mereka untuk memperdaya mangsa-mangsa di negeri ini.
“Masyarakat negeri ini dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berkenalan dengan individu tidak dikenali ketika chat bagi mengelak menjadi mangsa penipuan jenis ini,” katanya.


p/s : takut bila baca artikel ni . sebenarnya ada banyak lg artikel tp ini sahaja yg mampu utk sy copypaste . pengajarannya, jangan mudah terpengaruh dengan hubungan2 di laman sosial . x salah kalau nk bergaul utk mengeratkan silaturrahim  tp kalau yg da rapat pn tak dijaga hubungan silaturrahim sampai berpecah belah , buat apa nk mengeratkan silaturrahim dgn orang yg kita xtau asal usulnya . mmg something wrong la . kalau bergaul dengan orang yg elok perangainya, insya-Allah xde pape tp kalau sebaliknya ? jangan cepat sgt melenting bila ditegur . fikir masak2 dulu kenapa dan sebab apa orang tegur tu . yg dikejar x dapat, yg digendong berciciran . sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna . ingat ! (nada upin ipin) ^^